Khamis, 2 Januari 2014

Erti Ujian Allah

Aku cuma seorang gadis biasa. Perwatakan, pemakaian aku, belum cukup sempurna sebagai seorang muslimah sejati. Tapi Allah itu Maha Penyayang, tidak dibiarkan seorang yang seperti aku untuk terus hanyut dan lalai melupakanNya.
Aku bukanlah tidak solat, cuma terkadang lalai. Aku bukan tidak puasa, cuma mulut masih rancak mengumpat. Aku beragama Islam tapi aku sedar, Islam ku belum cukup sempurna seadanya.
Aku pernah punya kekasih hati. Seorang yang baik, yang banyak mengubah aku. Seorang yang aku selalu bayangkan bakal menjadi imam setiap solatku. Tapi kasih terhenti atas sebab yang tidak diingini. Aku rasa rebah seketika. Aku tiada tempat mengadu kerana aku tinggal sendirian. Selera makanku putus. Mengukir senyuman terasa mustahil. Aku habiskan masa depan komputer riba usangku. Mencari doa terbaik untuk menenangkan jiwa.
Suatu hari, aku terjumpa Al-Insyirah. Bait-bait dalam Al-Insyirah cukup menekan kalbuku. Aku terpesona. Aku teliti dan hayati maksud ayat surah itu. Lalu ku baca satu persatu.

“Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Peyayang…
1. Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: dadamu (Wahai Muhammad serta mengisinya Dengan iman dan hidayah petunjuk)?
2. Dan Kami telah meringankan bebanmu daripadamu:(menyiarkan Islam) -
3. Yang memberati tanggunganmu,
4. Dan Kami tinggikan sebutan (nama)mu bagimu.
5. Maka (tetapkanlah kepercayaanmu) Bahawa Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,
6. Bahawa Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.
7. Maka apabila Engkau telah selesai (daripada sesuatu amal Soleh), maka bersungguh-sungguhlah Engkau berusaha (mengerjakan amal soleh Yang lain),
8. Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah Engkau memohon (Apa Yang Engkau gemar dan ingini).”

Setiap kali usai solat, surah Al-Insyirah akan ku baca. Setiap kali jantung terasa berat, hati terasa sarat. Aku ulangi lagi Al-Insyirah. Setiap hari komputer riba aku tatapi, mencari sesuatu yang bisa untuk ku hilangkan segala resah di hati.
Dan akhirnya aku tersedar, segala bebanan yang aku tanggung, segala ujian ini sebenarnya tanda kasih Allah pada aku. Allah rindukan rintihan aku. Aku tahu, Allah mahu mengajar aku erti sebenar ujian-Nya.
Dari situ, satu persatu aku temui. Semua bermula dari komputer riba usang ku. Tiada pentingnya cinta manusia jika Allah tidak kita letakkan pada nombor satu. Namun, aku cuma insan lemah. Sering juga aku rasa kalah, aku rasa resah. Aku masih cuba membaiki diri, setapak demi setapak. Aku masih lagi aku yang dulu, cuma aku harapkan rohani aku sedang dalam proses pemulihan dan pembersihan.
Alhamdulillah, Allah sedarkan aku dengan menghantar ujian buat aku. Allah tinggalkan aku sendirian jauh dari manusia yang lain, supaya aku dekati-Nya, supaya aku dapat luahkan semua padaNya. Allah hantar ujian buat aku supaya aku sedar bahawa Dia adalah penguasa diriku, supaya aku sedar bahawa hati aku adalah milikNya. Jika gembira hati ini, semua datang dariNya, jika berat hati ini, kepada dia jugalah tempat aku mengadu untuk hilangkan resah.
Dalam hadith qudsi Allah berfirman:-
“Pergilah pada hambaku lalu timpakanlah berbagai ujian padanya kerana Aku ingin mendengar rintihannya”
(Hadis Riwayat Tabrani dari Abu Umamah)
Bukan mudah untuk memahami sepotong ayat ini. Aku bersyukur kerana aku di antara hambaNya yang terpilih untuk diberi ujian. Dari ujian ini lah aku mencuba untuk memperbaiki diri. Kerana aku tak mahu aku hanya mencariNya di kala aku kesusahan.
Aku mahu aku sentiasa merindui tuhanku. Aku mahu setiap gembira ku dimulai dengan Alhamdulillah supaya setiap kesusahan ku dapat aku luahkan padaNya tanpa rasa malu.
Semoga Allah sentiasa membantu aku untuk memperbaiki diriku.

1265821_622383607792406_657279946_o
Penulis
Editor
Aina Amidin

Hijrah Cintaku

Malam itu lunak. Tanpa dikaburkan bait irama yang disangka nan indah. Diserakkan bersama rasa malu. Puncak akhlak itu kian tertinggi, antara dua keping jiwa. Berkorban rasa pinta direnyaikan. Bilakan saat terindah itukan terjaga. Teruskan terpelihara, lamanya hingga usai siap siagalah mereka. Dalam hati sang pendoa, sentiasa rasa terhibur. Pada resah yang bersinggah. Pada kelu sendu, direlungi titisan air matanya.
Tahajjud malam hari kan mendekatkan yang jauh. Yakin dan tulus. Semakin tunduk dan mendekatlah sayup doa yang sama. Meminta untuk dijauhi. Memohon agar hati tidak sesekali dicemari.
Mempercayai bisik harap. Sentiasa ia bersuara. Kerap dan sentiasa pinta dijauhkan. Sebelum waktunya. Sungguh, jiwa-jiwa yang mencintai keredhaan Tuhannya. Tidak sesekali inginkan kalimat indah. Terpacul penuh mudah. Tertulis penuh bait. Ia mahu untuk disimpan. Iakan mahu untuk dihijab. Iakan sentiasa gamang. Pada gerun takut pada zina. Bukankah terindahnya kerna menjauhi kotor dan keji? Dan sering hati dan segala anggota meneguk terus, ungkap-ungkap suci dan telus dari Tuhannya.
“Demikianlah supaya kami memalingkan daripadanya kemungkaran dan kekejian. Sesungguhnya Yusuf itu termasuk hamba kami yang terpilih.”  (Yusuf, 24)
seindahcintaislam demi cinta Allah
Seribu musim pun akan terus berlalu. Saat fikir tiada lagi akan sebuah penantian. Jauh dari dasar hati, mahu iakan muncul di akhirnya. Sungguh, tetapnya hati itu. Kerna tetapnya istikharah yang berdesir. Pada wajah yang tak pernah nampak, pada suara yang tak pernah tersurat.
Menjauhi corong emosi. Bergetar pada sebelahnya nafsu yang maha keji. Menyiratkan malu yang bertemu. Sujud terindah dan tertulislah kedekatan sebuah taqdir. Akan sebuah rindu terindah. Tersiksa kerna berusahanya dari sisi halal. Terperit kerana doanya tak pernah menipis. Tersedu sedan kerna memilih simpang yang sulit namun penuh tulus dengan bait keimanan haqiqi. Demi semata-mata meraih RedhaNya. Kerna rasa padaNya adalah yang utama dan pertama! Lantas, jalan itu dilalui.
Berusaha sentiasa perlu bermuhasabah. Usah sampai segalanya nampak putih dan gebu. Sedang syariat bersuara serak menafi rindu di qalbu. Memilih untuk mencintai. Umpama berkorban tanpa henti. Umpama menanti suatu yang pasti. Bukankah?
Malam akan sentiasa mendatang. Bingit menyiksa hingga kapan pun hilang bicara. Menulis rangkap bisa buat hati yang menanti. Bernafasnya DEMI dan HANYA Ilahi. Simpang kanannya bercahaya. Sulit. Pandanglah ke hadapan.
Kesulitan takkan pernah berubah pada namanya. Ia kan sentiasa bersifat sukar. Ianya berduri. Ianya perlu iman tebal di hati. Ianya perlu redha ayah dan ibu yang dicintai. Ia juga, sentiasa melukis pada sebuah kanvas hijrah. Kepada kebaikan. Kepada kesempurnaan.
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang AKU, Maka (jawablah), bahwasanya AKU adalah dekat. AKU mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Baqarah, 186)
Penulis
Editor
Aina Amidin

Kenapa Aurat Wanita Lebih Banyak Dari Aurat Lelaki?

Sebagaian wanita mengeluh kerana mereka perlu hidup sebagai seorang wanita, seperti yang kita lihat dialog di bawah. Mereka seolah-olah mempersoalkan ketentuan Allah SWT terhadap mereka.
“Aduh, situ tutup, sini tutup. Susah la gini. Apasal laki-laki mudah saja. Tak pakai baju pun takpe. Perempuan auratnya lagi banyak.”
“Kenapa la kita para isteri ni nak keluar kena minta izin dari suami kita, padahal suami kita nak keluar kemana-mana pun tak bagitau kita takpe pulak.”

“Jika kita ikut faraid dalam hal pusaka, rugilah kita. Sebab bahagian harta pusaka perempuan lagi sedikit berbanding harta yang anak lelaki dapat. Kami mahu keadilan!”
“Kenapa Allah jadikan wanita mengandung dan rasa sakitnya nak melahirkan anak. Suami kita rileks saja? Masa buat anak carilah kita, masa nak beranak kita tanggung sendiri!”
“Islam kata kita perempuan wajib taat pada suami, tapi ada islam cakap suami perlu taat pada isterinya? Mana keadilan pada kaum hawa?”
“Bila nak cerai je, suami yang boleh jatuhkan talak. Kenapa isteri tak bolek ceraikan suaminya? Kenapa?”
“Wanita takleh nak beribadat macam lelaki, sebab bila kita ada haid dan nifas, takleh nak solat dan puasa. Ingat perempuan ni suka ke tak solat dan puasa?”
Dan kemudian datanglah pertubuhan dan organisasi yang membela kaum wanita, dan menuntut hak sama rata antara jantina, mengekploitasi fahaman wanita yang terjejas akidahnya dek kerana disogok pertanyaan.
Kaum lelaki pula cakap, “Ah, mujur aku ni lelaki!”
Tunggu..!
Istigfarlah pada wanita yang ada perasaan seperti di atas. Cuba renungi jawapan-jawapan di bawah.
“Cik adik, Islam lah yang mengangkat aurat wanita. Benda yang mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan di tempat yang teraman dan terbaik. Awak ada emas dan permata, adakah awak nak letak terdedah ditepi laluan lalu lalang atau disimpan di rumah agar tiada siapa melihat perhiasan itu?
Ok, jika awak letakkan perhiasan tadi di kalangan orang, agaknya apa akan terjadi dengan barang perhiasan tadi? Lelaki, yang utama hanyalah bawah pusat ke lutut tapi awak?
Saya tidak dapat melihat kulit anda pun kecuali muka dan tangan! Awak tak mungkin akan terangsang nafsu tengok saya hanya berseluar pendek ke lutut? Jangankan saya, tapi tok imam akan tercabut serbannya jika tengok awak hanya pakai seluar pendek!”
“Ok, isteri perlu taat pada suami. Jadi, lelaki apa? Suami perlu wajib taat juga kepada ibunya tiga kali lebih utama dari ayahnya, walaupun dia sudah berkeluarga. Isteri tidak perlu lagi, taatnya hanya pada suami. Kenapa awak perlu taat pada suami? Kerana suami kalian lah yang menanggung dosa yang kalian lakukan!”
“Betul ke wanita menerima warisan pusaka lagi sedikit daripada lelaki? Tapi kan, harta itu memang hak untuk wanita itu dan dia berhak lakukan apa saja yang dia mahu.
Shh.. jangan kongsi dengan sape-sape walaupun suami. Tak kesian pada lelaki ke, dia perlu membahagikan harta pusaka itu kepada isteri dan anak-anaknya. Kalau isteri dia ramai, anak dia ramai, harta pulak secebis, tak merasa lah jawabnya!”
“Tahniah la sebab awak dapat mengandung dan melahirkan. Setiap kali awak begitu, wanita itu didoakan oleh sekalian makhluk dan malaikat! Beruntungnya awak! Andaikan awak meninggal pula masa beranak tu, percayalah… itu mati syahid dan ganjarannya syurga. Ya, syurga menanti awak! Sebab tu tak ramai orang wanita meninggal masa melahirkan, malah beranak 15 kali pun sihat sampai ke tua!”
“Akhirat nanti, saya dan lelaki lain di dunia ini akan diminta bertanggungjawab keatas empat jenis wanita. Siapa? Mereka ialah isteri saya, ibu saya, anak perempuan saya dan adik perempuan saya. Tahu maksudnya? Awak nanti di akhirat, awak akan dibantu oleh empat lelaki! Siapa mereka? Mereka ialah suami, ayah, adik atau abang malah anak lelaki awak!”
“Nak beribadat macam lelaki? Ingat mudah ke nak dapat syurga? Sedarlah, awak sebagai wanita boleh masuk sebarang pintu syurga yang awak sukai. Ya, dah la syurga, ada pilihan pula hanya dengan empat cara. Apa itu? Solat lima waktu, berpuasa bulan Ramadhan, menjaga kehormatan dan tahu apa satu lagi? Taat pada suami awak. Itu saja asasnya!”
“Saya, seorang lelaki wajib berjihad fisabilillah. Awak, seorang wanita jika taat akan suaminya, dan menunaikan tanggungjawab kepada Allah, maka awak akan turut menerima pahala setara seperti pahala orang pergi berjihad fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata!”
Allah SWT; sebagai Zat yang Maha Pencipta, yang menciptakan kita, maka sudah pasti Dia yang Maha Tahu pada manusia, sehingga segala hukum-Nya malah peraturan-Nya, tentulah yang terbaik bagi manusia dibandingkan dengan segala peraturan yang dicipta manusia.
- Artikel iluvislam.com